Bahawasanya Nabi Muhammad itu telah diputerakan pada 12 Rabiul-Awal, bersamaan 20 April 571 masehi. Ayahanda baginda Abdullah Bin Abdul Muthalib telah wafat sewaktu Nabi masih di dalam rahim ibunya. Bertepatan masanya, bonda Nabi, Aminah Binti Wahab pun melahirkan seorang putera tanpa cacat cela. Ibu Nabi telah menyusukannya selama tiga hari.
Kemudian baginda disusukan pula oleh Thuwaibah dan akhirnya diberi jagaan dan susuan oleh Halimatul Sa'diyah yang membawa ke desanya di luar kota Makkah. Tinggallah Nabi dalam jagaan Halimatul Sa'diyah selama 4 tahun dan baginda dikembalikan semula kepada bonda baginda di bawah kawalan datuknya Abdul Muthalib.
Baginda menjadi yatim piatu pada usia 6 tahun setelah wafatnya bonda baginda. Maka tinggallah baginda di bawah jagaan datuknya hanya untuk tempoh 2 tahun sahaja. Setelah itu, baginda diperlihara oleh bapa saudara baginda Abu Thalib. Walaupun kehidupannya miskin, sebagai anak remaja, baginda telah berikhtiar membantu mengambil upah menjaga dan mengembala kambing dan dengan upahan itulah baginda dapat menolong bapa saudaranya menyara kehidupan mereka sehari-hari.
Ketika baginda berusia 12 tahun, Abu Thalib telah membawa Nabi ke Negeri Syam (Palestin) kerana berniaga. Dalam pemergian inilah baginda ditemui seorang pendita Nasrani dan beliau berpesan kepada bapa saudara Nabi agar memelihara baginda dengan baik kerana menurutnya Muhammad bakal menjadi Nabi dan Rasul.
{Apabila difikir-fikirkan kembali dalam usia yang dikatakan setandan jagung, baginda Nabi Muhammad s.a.w telah menempuh pelbagai mehnah dan ujian yang berliku dalam hidup. Berbeza jika hendak di bandingkan dengan kanak-kanak yang lain pada zaman Rasulullah mahupun zaman modenisasi ini}
No comments:
Post a Comment